Solat Sunat Musafir 01/10/2019


Bilakah solat sunat musafir ini dikerjakan?

Apabila hendak bermusafir sama ada berziarah, menunaikan haji atau umrah, berniaga dan seumpamanya dengan perjalanan melebihi 60 batu (dua marhalah), disunatkan solat sunat dua rakaat.

Solat sunat musafir didirikan dengan harapan supaya perjalanan diberkati Allah SWT.

Ibn Abi Syaibah ada meriwayatkan dengan sanadnya daripada al-Mut’im bin al-Miqdam katanya, Rasulullah SAW bersabda:

Tiada yang ditinggalkan oleh seorang hamba ke atas ahlinya lebih afdal daripada solat dua rakaat di sisi mereka, ketika dia hendak bermusafir. 

— Riwayat Ibn Abi Syaibah di dalam Musannaf Abi Syaibah

 

Niat Solat Sunat Musafir

Niat solat musafir adalah seperti berikut:

niat solat musafir

 Usolli sunnatas safari rak’ataini lillahi taala 

Sahaja aku solat kerana hendak musafir dua rakaat sunat kerana Allah Taala.

 

Cara Mengerjakan Solat Ini

Rakaat Pertama

1.Dimulai dengan lafaz takbiratul ihram berserta niat.

2.Membaca doa iftitah

3.Membaca surah al-Fatihah

4.Membaca surah al-Kafirun atau surah lain daripada al-Quran.

surah al-kafirun

Maksudnya:

Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku.

5.Meneruskan solat sehingga selesai rakaat pertama.


Rakaat Kedua

1.Dimulai dengan lafaz takbir intiqalat (takbir permulaan rakaat kedua).

2.Membaca surah al-Fatihah.

3.Membaca surah al-Ikhlas atau surah lain daripada al-Quran.

cara solat taubat

Maksudnya:

Katalah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.”

4.Meneruskan solat sehingga selesai rakaat kedua.

5.Memberi salam.

 

Doa Solat Sunat Musafir

Sesudah salam, bacalah doa sebagaimana berikut:

doa musafir

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar. Subhaanal lazii sakh kharalana hazaa wa maa kunnalahuu muqrinin wa inna ilaa rabbina lamung qalibuun. Allahumma inna nas aluuka fii safarinaa hazaal birra wattaqwaa, waminal Amali maa tardhaa. Allahumma hawwin alainaa safaranaa hazaa wa atwi Anna bu’dah. Allahumma antassoohiibu fissafari wal khaliifatu fil ahli. Allahumma innaa na Uuzubika min wa’thaa issafar, waka aa batil mang zhori wa suu ilmung qalabi fil maali wal ahli.

Maksudnya:

Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar.

Maha Suci Tuhan yang telah mempermudahkan kami dan kami tidak syirik kepadaNya, juga kepadaNya kami kembali.

Ya Allah, kami memohon kepada perjalanan kami ini kebaikan, ketaqwaan dan amalan yang Engkau redhai. Ya Allah, mudahkanlah bagi kami perjalanan kami dan pendekkanlah bagi kami perjalanan ini.

Wahai Tuhan kami, Engkaulah Pengiring di dalam perjalanan ini dan Penjaga keluarga kami. Ya Tuhan kami, kami memohon dipelihara daripada sebarang kesusahan perjalanan ini dan perkara-perkara yang buruk yang dilihat dan berlaku kepada harta dan keluarga kami.

 

Doa Setelah Berada Dalam Kenderaan

Setelah berapa di dalam kenderaan, bacalah doa berikut sebelum berlepas:

 Bismillahil hamdu lillahi subhaanal lazi sakh kharalanaa hazaa wa maa kunnaa lahuu muqrinin, wa innaa ilaa rabbina lamung qalibun. 

Maksudnya:

Dengan nama Allah, puji-pujian bagi Allah. Maha Suci Allah yang telah mempermudahkan kenderaan ini untuk kami, sedangkan kami sebelum ini tidak terdaya mengusainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali.

 

Penutup: Solat Sunat Setelah Pulang Dari Musafir

Selepas pulang daripada musafir, disunatkan juga solat sunat dua rakaat.

Syarat solat itu dilakukan sebelum sampai ke rumah.

Contohnya dilakukan di masjid atau surau yang berhampiran dengan rumah.

Dalam sebuah hadis:

Daripada Ka’ab r.a bahawa Nabi SAW apabila Baginda sampai dari musafir pada waktu dhuha. Baginda masuk ke dalam masjid lalu Baginda Solat dua rakaat sebelum duduk

— Riwayat Bukhari

Semoga artikel ini memberi manfaat kepada anda!




Powered by : iURUS-Travel Software (2019) iURUS-Travel Software (2019)

loading

Terima kasih kerana memilih KRS TRAVEL SDN BHD

Sila tunggu sementara kami memuatkan